Tuesday, 16 December 2014

2.Membuat Keputusan
   Apa yang Perlu Anda Tahu & Lakukan


Apabila anda sudah membuat keputusan untuk menyusukan bayi, dapatkanlah semua maklumat tentang penyusuan susu ibu.

Lapangkan minda
Penyusuan susu ibu melibatkan psikologi dan juga fizikal. Berikut adalah beberapa tip persediaan untuk menjayakan penyusuan susu ibu:

• Amalkan sikap yang positif dan yakin bahawa anda boleh dan akan berjaya.
• Rancang berapa lama anda mahu menyusukan bayi.
• Bercakap dengan suami dan jika boleh, hadiri ceramah penyusuan susu ibu atau kelas antenatal di  mana penyusuan diajar bersama-sama.
• Libatkan diri anda dengan orang-orang yang menyokong penyusuan susu ibu. Jangan tawar hati dengan komenkomen negatif daripada mereka yang kurang memahami atau mempunyai tanggapan yang salah berkenaan penyusuan susu ibu.

Salah Faham Tentang Penyusuan Susu Ibu

“Saya tidak mahu payudara yang kendur!”
Yang sebenarnya, penyusuan susu ibu membantu anda kembali kepada bentuk badan asal dengan lebih cepat. Wanita yang payudaranya kendur selepas bersalin menyalahkan penyusuan susu ibu sedangkan hakikatnya ia disebabkan oleh faktor usia yang meningkat dan graviti.

“Penyusuan susu ibu menyusahkan.”
Penyusuan susu ibu sebenarnya memudahkan anda. Anda tidak perlu membawa peralatan, tidak perlu risau tentang bekalan susu, penyimpanan atau penyediaan susu. Tambahan lagi, penyusuan susu ibu boleh dilakukan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan ia tidak melibatkan kos!

“Penyusuan susu ibu mudah. Apa lagi yang hendak dipelajari?”
Penyusuan susu ibu memang semulajadi dan mudah tetapi ia juga satu kemahiran yang perlu
dipelajari. Dengan belajar, anda boleh lebih bersedia dan tidak mudah mengalah apabila timbul masalah.

“Menyusukan bayi? Jangan haraplah.
Tidakkah ia menyakitkan?” Hakikatnya, pada awalnya anda mungkin rasa sedikit bengkak. Akan tetapi, ia akan hilang selepas beberapa hari. Jika anda rasa sakit, ini mungkin disebabkan bayi tidak menghisap puting dengan betul.

“Tapi wanita yang berpayudara kecil tidak boleh menghasilkan susu yang mencukupi!”
Wanita yang berpayudara kecil boleh menghasilkan susu yang mencukupi. Saiz payudara
dipengaruhi oleh tisu lemak manakala penghasilan susu bergantung kepada saiz kelenjar mamari di dalam payudara. Kelenjar mamari adalah sama tanpa mengira saiz payudara.

“Kenapa perlu susukan bayi sedangkan saya akan kembali bekerja?”
Ada cara untuk menggabungkan penyusuan dengan kerja. Ia mudah, memuaskan hati dan berbeza daripada apa yang anda fikirkan. Ia praktikal!

Buat perancangan
Maklumkan kepada suami dan ahli keluarga tentang keputusan anda untuk menyusukan bayi:
• Minta supaya bayi tidak diberikan air atau susu formula kecuali atas sebab perubatan.
• Bayi tidak sepatutnya diberikan puting kosong kerana ini boleh menyebabkannya keliru puting dan tidak mahu menyusu dari payudara ibu.

Anda juga perlu memaklumkan kumpulan penjagaan kesihatan:
• Pastikan mereka tahu yang anda mahu menyusukan bayi sejurus selepas selamat melahirkan bayi.
• Minta bayi tinggal sebilik dengan anda di hospital supaya anda boleh berada bersamanya dan menyusukannya apabila dia lapar.


Ketahui Bila Anda Boleh dan Tidak Boleh Menyusukan Bayi

 TERUSKAN penyusuan susu ibu walaupun anda:

• mengalami demam selsema, selsema atau jangkitan bakteria. Apabila anda tidak sihat, tubuh anda
menghasilkan antibodi yang akan dipindahkan kepada bayi menerusi susu. Jika anda berhenti
menyusukannya, anda sebenarnya mengurangkan perlindungan bayi!
• sedang mengambil ubat-ubatan, suplemen pemakanan atau sediaan herba. Akan tetapi,
semaklah dengan doktor terlebih dahulu.


Ubat-ubatan yang selamat untuk diambil dalam tempoh penyusuan
• Analgesik (seperti parasetamol, ibuprofen, aspirin dan sebagainya)
• Kebanyakan antibiotik
• Antihistamin
• Antasid
• Ubat-ubatan asma
• Ubat-ubatan berasaskan steroid (seperti krim kulit)
• Suplemen pemakanan

BERHENTI menyusukan bayi buat sementara waktu jika anda:
• mengalami abses payudara atau penyakit yang serius.
• menjalani pembedahan yang besar atau mengalami jangkitan yang serius.
• mengalami tuberkulosis – tunggu sehingga doktor mengesahkan anda tidak lagi berjangkit.
• mempunyai lesi herpes yang aktif pada payudara.

JANGAN menyusukan bayi jika anda:
• mempunyai hepatitis C.
• positif HIV.
• sedang mengambil ubat anti-barah.
• sedang mengambil ubat-ubatan radioaktif (seperti iodin).

0 comments:

Post a Comment

Anda Juga Mungkin Meminati